Saturday, June 19, 2010

Lawatan ke Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Sepang

Pada 16 haribulan Jun 2010, tiga orang perwakilan Jaringan Hak Rakyat (JAHAT) iaitu Wan Luqman, Muhammad Nabil dan sukarelawan Affiqah Zulkefley telah mengunjungi Kampung Orang Asli Bukit Bangkong di Sepang, Selangor, untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai mengenai cara hidup Orang Asli dan persekitaran kampung. Kampung Orang Asli Bukit Bangkong telah dikenalpasti sebagai lokasi untuk Projek #26 hasil tinjauan AJK JAHAT, En. Najmi.

                   
Kenderaan rasmi JAHAT.

Kami telah memulakan perjalanan dari Subang Jaya pada jam 2.10 petang. Untuk perjalanan pergi ke Bukit Bangkong, kami memilih untuk menghala ke Sepang melalui Kuala Langat. Masa perjalanan, jarak perjalanan dan penggunaan petrol telah dicatat untuk dijadikan penanda aras dalam pengiraan kos Projek #26.

Flora di kiri dan kanan jalan.

Perjalanan melalui kawasan luar bandar seperti Banting dan jalan pantai sekitar pusat peranginan Morib sangat menarik. Setelah mengharungi perjalanan selama dua jam, kami berhenti rehat di sekitar Kampung Batu Laut. Tempat ini adalah bersebelahan pantai dan terdapat kemudahan rekreasi seperti pondok dan taman permainanan kanak-kanak. Keadaan kemudahan rekreasi tersebut amatlah menyedihkan dan saya amat berharap supaya pihak berkuasa tempatan mahupun penduduk setempat agar bertanggungjawab dalam memelihara kemudahan sebegitu untuk kebaikan bersama dan industri pelancongan setempat. Hanya terdapat dua buah kedai yang beroperasi di tempat kami berhenti rehat, sebuah bakeri yang menjual pelbagai jenis roti dan sebuah kedai komputer. Kami terkejut melihat pelbagai pilihan roti yang terdapat di bakeri tersebut dan harga yang ditawarkan di bakeri tersebut amatlah menarik iaitu 60 sen bagi setiap jenis roti.

Bakeri berhampiran Kg. Batu Laut.

Hotdog dan burger dari bakeri berharga 60 sen setiap satu.

Kedai komputer bersebelahan bakeri.

Sekitar tempat kami berehat.

Nabil dan air batu campurnya.

Kanak-kanak bermain.

Pondok usang.

Setelah berehat selama 20 minit dan hasil tunjuk arah daripada tuan bakeri, kami meneruskan perjalanan menghala ke Bukit Bangkong. Setelah menyambung perjalanan kira-kira selama 20 minit, kami tiba di persimpangan masuk ke Kampung Orang Asli Bukit Bangkong pada jam 4.40 petang.







Pemandangan sepanjang perjalanan.

Kami berjumpa dengan Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Bangkong iaitu Tok Adit. Pelbagai perkara telah dibincangkan bersama Tok Adit dan beliau amat berbesar hati dengan usaha untuk membantu menaikkan taraf pendidikan kanak-kanak Orang Asli.

Melalui pemerhatian kami, keadaan kemudahan yang terdapat di kampung tersebut cukup baik, terdapat sebuah tabika, sebuah sekolah rendah, sebuah balai raya dan sebuah Pusat Warisan Mah Meri.




Pemandangan sekitar kampung.

Sekolah Kebangsaan Bukit Bangkong (A) telah dibina pada tahun 1955 atas usaha Penasihat Orang-orang Asli Tanah Melayu, Dr. Iskandar Yusof Carey dan Encik Hussein bin Inas serta dipersetujui oleh Tok Batin. Bangunan pertama sekolah yang merupakan sebuah bangsal telah dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung. Bangunan kedua telah dibina pada tahun 1956 untuk menampung peningkatan jumlah pelajar dan telah dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor pada 15 Oktober 1956.

Hasil perbincangan bersama Tok Adit, beliau menganggarkan terdapat kira-kira 50 orang pelajar Orang Asli dalam lingkungan darjah empat hingga darjah enam yang berada di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong. Selain daripada itu, pemerhatian kasar beliau juga mendapati pelajar perempuan lebih menonjol dalam aspek akademik berbanding pelajar lelaki. Tambah Tok Adit lagi, kebanyakkan pelajar hanya bersekolah sehingga tingkatan tiga. Tok Adit sendiri merasakan sesuatu perlu dilakukan bagi menanam sifat pentingkan ilmu dalam kalangan pelajar dan Tok Adit menyuarakan bahawa tanpa ilmu sesebuah masyarakat sukar untuk maju dan membangun. Selain itu, Tok Adit juga mencadangkan supaya sesi pengajaran interaktif digunapakai untuk mengelakkan para pelajar daripada kebosanan.

Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Tok Adit.




Selain daripada perbincangan mengenai Projek #26, Tok Adit juga telah menerangkan serba-serbi mengenai sejarah, sosialogi dan adat istiadat Orang Asli Mah Meri. Menurut beliau, Orang Asli Mah Meri berasal dari kepulauan Sumatera dan telah berhijrah ke semenanjung Malaysia beratus-ratus tahun dahulu. Orang Asli Mah Meri terdiri daripada pelbagai penganut agama seperti penganut Islam, Kristian dan animisme. Tetapi, hubungan sesama masyarakat masih rapat dan segala permasalahan akan dirujuk kepada Tok Batin. Tok Batin pula dipilih sebulat suara oleh masyarakat Orang Asli.



Apabila ditanya mengenai harapan Tok Adit mengenai kampungnya, beliau berharap agar kampungnya akan terus membangun bukan sahaja dari segi pembangunan infrastruktur tetapi juga pembangunan minda.


Setelah selesai perbincangan dan mendapat persetujuan Tok Adit untuk melaksanakan Projek #26 di kampungnya, kami bertolak pulang ke Subang Jaya pada pukul 6.40 petang melalui Salak Tinggi dan lebuhraya PLUS. Perjalanan pulang melalui lebuhraya hanya mengambil masa selama sejam 20 minit berbanding perjalanan pergi yang mengambil masa selama dua jam 20 minit.

Kepada anak-anak muda di luar sana yang berminat untuk menjadi sukarelawan, sila hubungi kami dan bersama kita membawa perubahan kepada dunia.

Laporan untuk Jaringan Hak Rakyat. Muda. Lantang.

5 comments:

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

gud job to all PORNstars :)

People's Rights Network said...

finalator; thank you!

Unknown said...

assalamualaikum, saya nak tanya apa procedure untuk buat lawatan ke kg ni ya?

Unknown said...

ada contact no tak??